Tinggal la pesan

Memaparkan catatan dengan label satu keinsafan di hati. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label satu keinsafan di hati. Papar semua catatan

Jumaat, Januari 02, 2009

Kenangan di Pusat Serenti Raub, Pahang

Hari ini dah masuk hari kedua kita berada dalam tahun 2009. Semalam pada hari pertama tahun baru saya dan 20 orang rakan SPADA yang lain telah berkunjung ke Pusat Serenti Raub, Pahang. Seperti mana yang saya ceritakan dalam entry sebelum ini, lokasi pusat ini berhampiran dengan sekolah pertama saya dulu. Sepanjang perjalanan saya menikmati pemandangan yang dulunya sangat akrab dengan saya. Suasananya kini tidak banyak yang berubah. Memang amat meninggalkan nostalgia yang terpahat di sanubari saya.

Berbalik tentang tujuan kami ke pusat ini, kesemua 21 orang kami yang akan bergelar kaunselor kepada msalah penagihan di negara ini tak berapa lama lagi, telah diketemukan dengan 21 orang klien terpilih. Saya telah dipertemukan dengan seorang klien Melayu, berusia 36 tahun dan berasal dari Kedah. Berdasarkan cerita beliau, mula menghisap rokok sejak berusia 9 tahun kerana pengaruh bapa. Emmm..(gumam saya dalam hati). Menurutnya lagi usia 11 tahun sudah mula menagih heroin. Aduhhh...(hati saya terus tersentak). "Ini kali kedua masuk pusat serenti".Katanya lagi. Tapi saya tak heran sangat dengan pengakuannya ini kerana apa yang paling 'menggerunkan' saya apabila dia menambah.."...saya dah 7 (tujuh) kali keluar masuk penjara atas kesalahan mengedar dadah". Astaghfirullahhalazim....terus saya mengucap panjang (juga dalam hati.) Malah klien saya ini turut pernah didakwa di bawah sekseyn 39B(2). Maknanya boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Saya terus mencungkil rahsia...saya biarkan klien saya ini bercerita tentang kisah silamnya. Heroin teman sejati klien saya ini. Habis satu badan menjadi tempat jarum suntikannya. Malah sehingga ke tempat 'sulit'nya juga di'injek' untuk mendapatkan kesan 'high'. Katanya, di situlah paling bes! Mujurlah hingga kini beliau tidak dihinggapi HIV AIDS. Menurutnya lagi beliau pernah menyembunyikan heroin di dalam rumah sewanya dengan jumlah yang banyak. Namun bila polis menyerbu langsung tak jumpa sikit pun heroin tu. Nak tau kat mana dia sorok? Dalam dinding rumah yang ditebuk, disimen dan dicat semula dengan kemas!!! Beliau juga pernah ditikam dengan parah oleh ahli kumpulan pengedar yang lain kerana berebut 'kawasan' di sekitar JB dan Singapura...sekali lagi saya beristighfar... sampai keluar negara 'urusannya'... (hati saya terus berkata-kata sendirian) malah pernah dimasukkan ke penjara Singapura selama 6 bulan kerana dadah.

Akhirnya di sinilah tempatnya..di pusat ini. Di akhir perbualan , saya bertanya. "Ada rasa nak pulih tak lepas ni?" Dia terus menjawab dengan yakin. "Ya, puan. Saya insaf dan bertaubat sebab saya dah letih dengan semua ini. Cukup letih. Saya nak kembali ke pangkuan masyarakat, nak jaga mak saya yang dah tua. Saya anak sulung, patutnya saya dah berkeluarga dan dapat jaga mak sekarang ni. Puan doa la juga untuk saya ye" rintihnya dengan suara yang tersekat-sekat kerana menahan sebak. Saya yakin dia ikhlas...saya pandang tepat ke dalam matanya. Dapat saya lihat di situ airmatanya bergenang di hujung kelopak. Syukur Alhamdulilah... "Baguslah.." ujar saya. "Hidup kita hanya sementara, Allah hanya pinjamkan untuk kita seketika saja. Bila-bila masa DIA akan mengambilnya semula dari kita. Sementara ada waktu, kumpullah sebanyak mana bekalan yang akan kita bawa ke 'sana' nanti". Kata saya selain menambah bahawa untuk berubah perlukan kekuatan dalaman. Yakinlah bahawa ALLAH akan menolong hambanya yang benar-benar ingin berhijrah ke arah kebaikan dan dia (klien) tidak berseorangan sebenarnya. Klien saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana sudi mendengar luahan hatinya yang meronta-ronta untuk meminta pertolongan tapi tak tahu kepada siapa untuk mengadu. Sebelum beredar dia sempat bertanya, "Err..Puan. Boleh tak bagi saya pen hijau yang puan pegang tu sebagai kenang-kenangan untuk saya? Cantik la pen tu",

Saya pulang dengan satu kepuasan di hati. Mudah-mudahan klien saya ini benar-benar pulih dan akan mengingati kata-kata saya tiap kali dia melihat pen hijau itu.